Tuesday, January 19, 2010


Pengetua salah guna kuasa pindah guru bermasalahhttp://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20100118234404/Article/

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

NUTP tak setuju ambil kesempatan program MBMMBI

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa ada segelintir guru besar dan pengetua menyalah guna kuasa untuk memindahkan guru yang 'tidak sebulu' atau bermasalah dari sekolah dalam melaksanakan program penempatan semula bermula awal bulan ini.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata guru besar dan pengetua terbabit mengambil kesempatan mengeluarkan guru tertentu yang sudah disasarkan dengan memberi alasan sekadar memenuhi arahan penempatan semula untuk mencapai matlamat memartabat Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Berikutan itu, beliau berkata, berlaku senario ada guru Bahasa Inggeris dipindahkan dari sekolah yang sedang mengalami kekurangan tenaga pengajar dalam subjek itu, malah keadaan sama menimpa guru opsyen Seni Visual walaupun mereka tiada kaitan dengan program penempatan semula untuk MBMMBI, sehingga menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Perkara sedemikian berlaku kerana tiada sebarang garis panduan mengenai penempatan semula ini yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran untuk diguna pakai secara seragam oleh semua jabatan pelajaran negeri (JPN).

"NUTP memang tidak bersetuju dengan kaedah penyalahgunaan kuasa sebegini di mana guru besar atau pengetua mengambil kesempatan atas arahan penempatan semula untuk mengeluarkan guru yang tidak disukai, antara lain mungkin kerana guru berkenaan 'kaki bangkang', mahu pun guru bermasalah dari sekolah mereka.

"Kementerian perlu memantau supaya program penempatan semula ini dilakukan secara profesional bagi memastikan guru tidak menjadi mangsa," katanya di ibu pejabat NUTP di sini, semalam.
Selain itu, Hashim berkata, ada guru sudah bertugas lama sehingga 20 tahun di sesebuah sekolah tetapi menerima arahan berpindah ke lokasi jauh dalam tempoh sesingkat dua minggu, menyebabkan timbul tekanan tinggi dari segi urusan keluarga dan bebanan kewangan.

Sebagai contoh, katanya, guru dari Sabak Bernam ditukarkan ke Petaling, Subang atau Klang terpaksa bangun jam empat pagi dan mengambil masa empat jam ulang-alik ke sekolah setiap hari, sekali gus menjejaskan tumpuan mengajar.

Bukan itu saja, beliau berkata, turut berlaku kes ada guru opsyen Bahasa Malaysia, tetapi mengajar Bahasa Inggeris selama 15 tahun demi memenuhi keperluan sekolah, malah pernah menjalani kursus pertukaran subjek, diminta bertukar ke sekolah lain dan dipaksa mengajar Bahasa Malaysia yang sudah ditinggalkan begitu lama.

Pada peringkat awal pelaksanaan penempatan semula ini, Hashim berkata, NUTP sudah menerima 10 aduan daripada guru yang kebanyakannya dari Selangor, termasuk lima atau enam kes mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa guru besar dan pengetua.



2 comments:

senandung hatiku said...

Salam..beginilah manusia. Asalkan namanya ada kuasa, sanggup menggunakan kuasa tersebut utk kepentingan peribadi atau atas hasutan pihak2 tertentu. Waima dlm bidang pendidikan sekalipun ...ramai diantara guru2 yg menjadi mangsa. Nak buat aduan x berani. Takut di "tanda" seumur hidup. Alamatnya x merasala anugerah cemerlang! krn itu ada yg berkhidmt 10 tahun belum dpat pengiktirafan!

anisa said...

ya, saya juga bersetuju. kebayakan guru besar 'kejam' bertindak mengikut 'kepala' mereka sahaja. apc diberi pada yg disukai walaupun kerja kurang dgn ketepikan yg lebeh senior. penempatan semula dituju pada yang tak disukai. namun, apa nak buat, ppd dan jabatan pasti melindungi tindakan guru2 besar ini kerana mereka sentiasa bekerjasama dgn baik. dan, guru biasalah juga yg jadi mangsa akhirnya. TAK PERCAYA? percayalah!

Post 1 ~2020 Halaman 152/366 Hari ke 75 PKP Hari ke-19 Fasa 5 PKP.  Hari ke-28 PKPB.  8 Syawal 1441H/ 31.05.2020